KAEDAH PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN MURID PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT


 


            Secara umumnya, sebenarnya tiada satu pun pengajaran khas yang boleh dianggap sebagai pendekatan yang mantap untuk digunakan oleh seseorang guru. Seseorang guru seharusnya mempunyai pemikiran yang kreatif untuk menarik minat seseorang pelajar pintar cerdas dan tidak menggunakan kaedah pengajaran tradisional. Khadijah M. Shahid (1992) yang membuat kajian ke atas beberapa pelajar pintar cerdas mendapati bahawa mereka mudah berasa bosan dan kecewa dengan suasana di sekolah kerana kebanyakan guru yang mengajar menggunakan kaedah tradisional, yang umumnya kurang memahami kehendak dan cita rasa mereka. Berikut merupakan pendekatan yang telah dicadangkan :

a.      Pendekatan koperatif

            Pendekatan koperatif merupakan pendekatan yang berpusatkan kepada murid. Pendekatan ini memerlukan para pelajar bekerjasa untuk menyelesaikan setiap tugasan yang diberikan oleh guru. Persekitaran yang membina ini akan menyebabkan pelajar pintar cerdas lebih bersemangat dan tidak bosan. Menurut Chiam (1992), pelajar-pelajar pintar cerdas ini akan mengalami kekecewaan jika mereka tidak mendapat galakan dan rangsangan yang mencabar dalam bilik darjah. Oleh itu, guru wajar menyediakan PdP yang tidak hanya menguji intelek pelajar tetapi menyentuh aspek perkembangan lain seperti bersosiolisasi, berkomunikasi, emosi, dan tingkah laku.

b.      Pendekatan Inkuiri

         Pendekatan inkuiri merujuk kepada pendekatan berpusatkan murid. Pendekatan ini memerlukan murid membuat penerokaan terhadap tugasan yang telah diberikan oleh guru. Pendekatan ini sangat sesuai kepada murid pelajar pintar cerdas kerana mereka sukakan cabaran untuk menjana pengetahuan mereka. Aktiviti-aktiviti dirancang sebegitu rupa supaya murid berpeluang melibatkan diri secara aktif dalam pembelajaran (Pusat Perkembangan Kurikulum 1994). Hal ini akan menyebabkan pelajar pintar cerdas akan berkongsi pengetahuan (intelek), memupuk nilai-nilai murni (rohani), bertimbang rasa (emosi) dan mempertingkatkan kemahiran berkomunikasi (sosial) bersama –sama dengan rakan – rakan yang lain dalam kumpulan. Oleh itu, pendekatan inkuiri ini juga sesuai digunakan oleh guru untuk mengajar murid pintar cerdas dan berbakat ini.

 c.       Pendekatan Kolaboratif

         Pendekatan kolaboratif pula merujuk kepada hubungan kerjasama antara guru pendidikan khas dengan guru aliran perdana. Pendekatan ini sangat penting kerana suasana PdP yang tidak kreatif akan menyebabkan murid pintar cerdas akan hilang minat untuk belajar. Ketiadaan strategi ini mungkin berpunca daripada kekurangan pengetahuan dan kemahiran guru pelajar aliran perdana untuk mengendalikan murid ini. Oleh itu, kerjasama ini dapat meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru tersebut. Guru – guru boleh bekerjasama dalam proses penyediaan rancangan pengajaran, objektif, aktiviti yang sesuai untuk pelajar ini.

d.     Pendekatan Bermain Sambil Belajar

        Kaedah bermain adalah kaedah pembelajaran yang mendekatkan diri pelajar kepada pengalaman sebenar secara langsung, terutama apabila mengajar konsep atau kemahiran. Apabila digunakan secara berkesan boleh menambah respon murid dan kepekaan kepada perasaan orang lain, iaitu murid tidak akan dapat memahami atau mengaplikasikan prinsip yang dipelajari dengan berkesan dan bermakna kecuali diberi peluang menyaksikan sendiri situasi sebenar dan menilai hasil aplikasi mereka dalam situasi bermasalah. Murid berpeluang dan boleh mempertingkatkan kebolehan empati, menambah kepekaan proses interaksi dan memiliki kebolehan menganalisis situasi secara objektif. Kaedah bermain sambil belajar merupakan situasi yang dilakukan secara spontan dengan arahan dan bahannya diambil daripada kisah benar. Untuk kaedah ini digunakan dengan berkesan, beberapa proses asas harus diikuti iaitu:

i. Pengenalan dan kesedian murid

 Murid berada dalam keadaan baik untuk belajar apabila mendapati reaksinya terhadap situasi sebelum ini tidak memuaskan. Maka dengan ini murid akan bermotivasi untuk mencuba cara yang baru. Contohnya membentangkan situasi bermasalah dengan beberapa cara bereaksi terhadapnya dan murid memilih cara bereaksi jika dia terlibat dalam situasi itu. Lepas itu murid dikehendaki menunjukkan empati atau yang boleh membina perasaan empati. Misalnya, jika rakan kamu cedera selepas menggunakan alatan tajam, apakah yang perlu kamu lakukan dan bagaimana kamu menunjukkan tanda simpati dan cara membantunya.

ii. Mendefinisikan situasi dan peranan

Situasi dibentuk oleh murid dengan bimbingan guru. Namun dalam pendidikan khas, guru haruslah membentuk situasi dan memberi arahan yang lebih jelas supaya murid lebih memahami situasi serta dengan bimbingan berterusan. Selepas pemilihan murid-murid yang terlibat, maka mereka akan melakukan lakonan itu. Guru haruslah membantu murid mendapatkan pengertian tentang masalah dan berasa selesa dalam peranannya.

 iii. Menyediakan Kelas untuk Pemerhatian dan Analisis

Fasa ini melibatkan mengorientasikan murid yang memerhati supaya mereka tahu tanggungjawab mereka dan akan melibatkan diri secara aktif dalam pengalaman pembelajaran. Kemudian murid diminta memberi pendapat tentang isu yang dilakonkan.

 iv. Bimbingan

Guru membimbing murid khas dalam lakonan yang ditentukan. Murid melakonkan watak contohnya pekebun sayur di kebun sayurnya yang menghadapi masalah dimusnahkan oleh haiwan ternakan. Pelajar dibimbing melakonkan setiap watak, pekebun, tuan punya kebun, tuan punya haiwan dan watak lain.

 v. Analisis dan perbincangan

Pada peringkat ini, guru dan murid membuat analisis dan perbincangan tentang keseluruhan tema yang dilakonkan dan mengeluarkan daya kreativiti penyelesaian masalah secara spontan. Guru dan murid akan bersoal jawab tentangnya.

 

e.       Pendekatan Kumpulan, Kelas, dan Individu

 

i.      Pendekatan kumpulan

        Pendekatan berkumpulan bermaksud murid bekerja dalam kumpulan. Walaupun berkumpulan setiap murid mengekalkan individualitinya dan dibantu untuk menyumbang idea kepada kumpulan. Setiap murid dalam kumpulan bertanggungjawab berkongsi idea dan memberi sumbangan yang baik, bukan mengikut sahaja. Guru memainkan peranan penting lebih-lebih lagi bagi murid pendidikan khas. Guru haruslah memastikan murid boleh mengalami pembelajaran bertujuan dan matlamat serta objektif kumpulan secara beransur dan penilaian diadakan berterusan. Guru mestilah berulang-ulang kali menyatakan objektif kerja secara kumpulan, kelas dan individu. Ini supaya murid memahami peranan dan akan meningkatkan kerjasama untuk kejayaan kerja kumpulan. Pendekatan kumpulan sebagai satu kaedah pengajaran membantu murid menjadi bebas serta yakin dan pada masa yang sama belajar bahawa seseorang itu bergantung antara satu sama lain. Ia sesuai sebagai satu cara untuk mempertingkatkan penyesuaian sosial.

ii.      Pendekatan kelas

        Pendekatan pengajaran kelas pula, guru akan berada di hadapan kelas dan mengajar. Murid akan memberi perhatian, membuat tugasan atau menulis dan lain-lain. Selepas itu, pelajaran baru bermula, guru akan bertanyakan pelajaran lepas dan meneruskan dengan maklumat baru, memberi sedikit kerja kelas, menekankan fakta penting, menyoal, memberi tugasan untuk hari berikutnya, menjawab soalan murid dan pelajaran berakhir. Walau bagaimanapun, dalam pendidikan khas, guru banyak membimbing murid dalam tugasan ini, memberi tugasan yang mampu dilakukan oleh murid. Apabila murid faham akan pelajarannya, maka penguasaan ilmu mereka akan diuji melalui kerja-kerja latihan.

iii.      Pendekatan individu

        Pendekatan individu pula menekankan rancangan untuk sesuatu pelajaran itu mengambil kira perbezaan murid. Setiap murid bekerja dengan bebas dan meneima bantuan apabila mereka memerlukannya. Murid akan melalui pembelajaran mengikut kadar kebolehannya. Jadual juga dirancang untuk mereka, tugasan akan disusun supaya murid ini akan bekerja berterusan. Ada beberapa kaedah untuk pengajaran individu seperti:

i)         Menggunakan panduan yang rancangannya ditulis mengarah murid dalam pembelajarannya. Dalam panduan itu, guru memberi objektif serta aktiviti yang disusun mengikut urutan supaya pada akhir aktivti itu, objektif pembelajaran tercapai. Dengan cara ini, murid boleh membuat tugasan mengikut kadar kebolehannya. Melalui kaedah ini, segala arahan dan tugasan sentiasa ada dan panduan belajar menyatakan apa yang perlu dilakukan.

ii)       Bahan dan program juga merupakan kaedah yang digunakan dalam pendekatan individu. Setiap langkah mempunyai sedikit matlamat, disusuli dengan soalan dan meminta respon daripada murid. Apabila murid memberi respon, dia akan ditunjukkan dengan jawapan yang betul yang memberi peneguhan kepada tindakan murid tersebut. Maklumat baru, kemahiran, saranan dan cadangan dimasukkan dalam program itu.

iii)      Memberi tugasan individu yang sesuai dengan tahap murid. Tugasan individu ini berbeza dari segi kuantiti dan kualiti mengikut kebolehan dan keperluan murid.

iv)     Menggunakan tahap kesukaran dalam program pengajaran dan juga menggunakan tahap jangkaan dalam memperihalkan kemajuan atau kualiti murid. Apabila murid diberikan tugasan mengikut tahap kesukaran tertentu, maka setiap tahap itu menjadi tahap jangkaannya. Murid itu diharap akan mencapai kualiti dan kuantiti kerja yang dibentuk untuk tahap itu dan kemajuannya dilapor secara berterusan.

f.       Pendekatan Berasaskan Penyelidikan

 Meese (2001) dalam bukunya “Teaching Learners With Mild Disabilities Intergrating Research and Practice” Second Edition, menyenaraikan beberapa pendekatan berasaskan penyelidikan, iaitu:

a) Pengajaran Secara Terus

        Pengajaran ini berprinsipkan penilaian secara berterusan dan dibuat secara langsung dan menekankan kepada komponen-komponen kemahiran tertentu dalam memberi tugasan kepada murid. Ia juga berfokuskan kepada kecekapan guru pendidikan khas dalam merealisasikan teknik pengajaran untuk membantu meningkatkan pencapaian murid.

        Pendekatan ini telah diperkenalkan oleh Bereither dan Engelmann (1996). Pengkaji ini telah menggunakan pengajaran secara berstruktur dan pendekatan secara berulang-ulang dalam mengajar kemahiran asas kepada pelajar. Antara kebaikan pendekatan ini ialah, ia jelas, pengajaran dapat dijalankan dengan teratur, berfokuskan kepada kemahiran tertentu sahaja, cepat dan sistematik serta dapat memberi maklum balas yang baik kepada murid.

b) Pengajaran Strategi Kognitif

        Murid khas dengan ketidakupayaan ringan merupakan murid yang agak sukar untuk mengaplikasikan apa sahaja kemahiran dan tingkah laku yang dipelajari di dalam kelas ke dalam situasi baru atau aktiviti di luar kelas. Oleh itu, dengan adanya gabungan strategi pengajaran seperti modifikasi tingkah laku kognitif, strategi pengajaran dan pembelajaran dan strategi pengajaran metakognitif dapatlah membantu murid memberi tumpuan, tujuan, memilih strategi yang sesuai dan efektif dalam menjalankan tugas dan dapat mengawal perkembangan individu.

 c) Bimbingan Rakan Sebaya

            Penglibatan rakan sebaya adalah amat penting dalam mempengaruhi pembelajaran murid khas di dalam kelas. Ia juga dapat meningkatkan pencapaian murid dengan memaksimumkan masa dalam proses pengajaran dan pembelajaran akademik. Apa yang penting adalah interaksi antara mereka dalam menjalankan tugas seperti mewujudkan kerjasama antara mereka. Guru akan memainkan peranan sebagai perancang, melatih murid untuk berkongsi dengan rakan-rakan sebaya agar dapat memastikan objektif pengajaran dan pembelajaran tercapai. 

d) Pembelajaran Berasaskan Keadaan Sebenar

        Pendekatan ini akan dapat membantu murid dengan ketidakupayaan ringan mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dalam masalah yang dihadapi dalam keadaan sebenar atau aktiviti luar kelas seperti perkebunan. Murid akan lebih bersedia untuk menghadapi keadaan sebenar apabila murid tersebut telah didedahkan dengan pembelajaran yang berbentuk pengalaman sebenar yang akan berlaku di luar kelas apabila proses pengajaran pembelajaran dijalankan di dalam kelas.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DEFINISI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DALAM KONTEKS PENDIDIKAN MALAYSIA

PENGENALAN BLOG

NAMA AHLI KUMPULAN