FAKTOR-FAKTOR PENYEBAB KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DAN BERBAKAT
Perkembangan individu pintar cerdas dan berbakat ini dapat dilihat dan
diperhatikan sejak kecil lagi. Antara perkembangan yang dikaitkan dengan
golongan ini adalah perkembangan fizikal, perkembangan emosi dan juga sosial.
Pada pandangan mata kasar masyarakat mereka tidak mempunyai masalah dalam
setiap peringkat perkembangan, namun pada hakikatnya yang sebenar golongan
pintar cerdas dan berbakat ini juga mempunyai masalah berkaitan dengan kehidupan
mereka. Mereka juga memerlukan perhatian dan sokongan yang sewajarnya untuk
terus menghadapi kehidupan walaupun pada dasarnya, mereka agak berbeza dengan
individu biasa. Oleh itu, isu-isu yang berkaitan dengan golongan pintar cerdas
dan berbakat ini tidak harus dipandang enteng oleh semua pihak agar masalah
perkembangan yang mereka hadapi tidak akan menganggu perkembangan bakat dan
potensi yang ada dalam diri mereka.
Piirto (1990) menyarankan lima aspek
perkembangan pintar cerdas iaitu genetik atau warisan sebagai faktor utama.
Faktor kedua ialah faktor emosi diikuti dengan faktor kognitif yang merujuk
kepada keperluan kecerdasan minima sebagai faktor ketiga. Faktor keempat dalam
perkembangan pintar cerdas ialah sifat pintar cerdas (talent) itu sendiri.
Aspek ini dikaitkan dengan sifat dalaman yang semulajadi dan bermisteri. Aspek
yang terakhir ialah ialah aspek luaran atau persekitaran kepada individu yang
berbakat. Aspek ini lebih merujuk kepada sokongan dan bimbingan ibu bapa dalam
memperkembangkan pintar cerdas dalam diri anakanak mereka.
Faktor genetik
Ramai pakar genetik dan psikologi telah berusaha untuk mencari dan
menentukan sejauh manakah kebenaran bahawa tahap kepintarannya diwarisi
malahan, kebanyakan pakar juga bersetuju bahawa asas potensi mental seseorang
sedikit sebanyak diwarisi daripada ibu bapanya. Boleh dikatakan bahawa
kanak-kanak pintar cerdas sudah menjadi pintar cerdas sejak saat kelahiran.
Manakala menurut Profesor Howe, kanak-kanak menjadi pintar cerdas mungkin
kerana hasil daripada bimbingan dan didikan ibu bapa serta guru-guru yang
berada di sekeliling mereka sejak lahir dan semasa waktu kritikal iaitu zaman
pra formal di antara kosong hingga enam tahun. Malahan, Kajian ahli-ahli
psikologi Galton (1865), Goddard (1890), Newman (1937) dan Shieldo (1962) turut
membuktikan bahawa setiap individu mempunyai kebolehan yang berbeza dan
perbezaan itu biasanya diturunkan oleh genetik ibu bapa.. Kajian ahli-ahli
psikologi sering mengaitkan perbezaan kecerdasan individu dengan kecerdasan ibu
bapa mereka. Kebiasaannya, ibu bapa yang pintar cerdas akan melahirkan anak
yang juga cerdas pintar.
Faktor Emosi
Menurut Goleman, kecerdasan emosi pula adalah kemampuan seseorang
mengatur kehidupan emosinya dengan inteligensi, menjaga keselarasan emosi dan
pengungkapannya melalui keterampilan, kesedaran diri, pengendalian diri,
motivasi diri, empati dan keterampilan sosial. Menurut Bee (1999), kanak-kanak
pintar cerdas adalah satu golongan yang heterogeneous. Mereka yang lebih tinggi
tahap kecerdasannya berbanding kanak-kanak lain menghadapi masalah penyesuaian
diri berbanding kanak-kanak lain. Goleman (1999) juga menyatakan bahawa
kecerdasan emosi adalah kemampuan lebih yang dimiliki seseorang dalam
memotivasikan diri, ketahanan dalam menghadapi kegagalan, mengendalikan emosi
dan kepuasan serta mengatur keadaan jiwa. Tuntasnya, seseorang akan berada
dalam keadaan yang positif apabila memiliki elemen-elemen tersebut. Beliau juga
menambah, kecerdasan emosi adalah lebih penting dan berpengaruh daripada
kecerdasan intelektual. Seseorang yang mempunyai kecerdasan emosi lebih berjaya
dalam mengatur kehidupan dan akhirnya mencapai cita-cita.
Faktor Kognitif /mental
Kanak-kanak pintar cerdas adalah golongan yang mempunyai kebolehan
mental yang mana jauh lebih tinggi berbanding rakan sebayanya. Oleh sebab itu,
keperluan motivasi yang setanding juga perlu diberikan supaya tiada konflik
timbul dalam kehidupan mereka kerana sudah ada panduan atau sistem pendidikan yang
bersesuaian. Ibu bapa berperanan mempengaruhi perkembangan kognitif mereka
dengan memindahkan pengetahuan berkenaan melalui maklumat dan budaya dengan
memberi tunjuk ajar mereka melalui perlakuan ibu bapa. Francis Galton pula
menyatakan kanak-kanak pintar cerdas sebagai seseorang yang mempunyai
penaakulan yang tinggi dan melihat sesuatu itu di dalam perspektif yang berbeza
daripada orang biasa. Dalam erti kata lain, perkembangan awal mereka dapat
dikenal pasti sebagai seorang individu yang mempunyai pemikiran kognitif yang
arasnya adalah lebih tinggi daripada individu lain. Pandangan yang dilontarkan
oleh Galton adalah amat bernas kerana bukan semua individu mempunyai pemikiran
kognitif yang tinggi serta memerlukan penerokaan yang lama untuk diambil oleh
seseorang individu yang biasa. Dalam konteks ini, kemahiran kognitif
kanak-kanak ini perlu dipantau agar mereka dapat berfikir secara rasional dalam
membuat keputusan.
Faktor luar dan persekitaran
Faktor aspek luaran dan faktor persekitaran adalah berkaitan dengan
peranan ibu bapa serta masyarakat dalam memberi dorongan dan sokongan terhadap
anak-anak pintar cerdas. Yang lebih utama adalah dorongan dan sokongan dari ibu
dan bapa yang berempati dan dapat menyedari keistimewaan anak kecil mereka. I bu
bapa yang memberikan ruang kepada anak mereka untuk berkembang sepenuh potensi
diri adalah ibu bapa yang boleh membentuk minda genius. Bagaimanapun, kejayaan
mereka kelak tidak boleh diambil dan ditiru bulat-bulat kerana semua
kanak-kanak amat berbeza dari segi minat dan personaliti mereka. Hanya ibu bapa
yang dapat menilai kemampuan anak kecil mereka dan kemudian melakukan apa yang
dirasakan perlu untuk membangunkan potensi dirinya. Seseorang ibu atau bapa
yang peka terhadap keupayaan anaknya akan memberi pendidikan yang lebih
sempurna dan yang terbaik di peringkat awal lagi. Hal ini demikian kerana jika
bakat atau kebolehan tidak dikembangkan secara tidak langsung akan mati.
Ternyata, keadaan ini akan merugikan banyak pihak terutama kepada negara, kerana
negara memerlukan golongan pintar cerdas ini untuk membangunkan negara.
Bakat itu sendiri
Kebanyakan bakat itu diramal daripada tingkahlaku ramalan. (predictive
behaviours). Bakat ini ditunjukkan secara domain dan dianggap bernilai oleh
masyarakat. Terdapat bakat domain yang spesifik seperti seni visual, muzik,
kesusasteraan, lakonan, tarian, sukan, rekaan, matematik, sains, dan
sebagainya. Ini turut disokong oleh Model Gagne yang menekankan proses
pembelajaran ataupun proses pembangunan bakat semulajadi yang dirangsang oleh
pemangkin luaran dan interpersonal. Pemangkin-pemangkin ini memainkan peranan
dalam membantu pengembangan bakat ataupun membantutkan pengembangan bakat.
Ulasan
Catat Ulasan