PENGENALAN BLOG






               Kanak-kanak pintar cerdas adalah golongan yang mana kebolehan mental mereka jauh lebih tinggi daripada rakan sebaya mereka. Walau bagaimanapun, golongan ini tidak bebas daripada masalah, tidak selalu berjaya mengikut kehendak dan ada kalanya menghadapi cabaran dalam kehidupan. Realitinya, mereka tidak menghadapi sebahagian masalah yang dihadapi oleh kebanyakan orang, tetapi mereka menghadapi masalah lain yang tidak dihadapi oleh orang kebanyakan. Masalah mereka menjadi bertambah rumit kerana masalah tersebut tidak difahami dan ini menjadikan mereka seolah-olah menghadapi masalah ini seorang diri. Keadaan ini sudah tentu memberi tekanan yang berlebih-lebih lagi kepada mereka. Salah faham dan stereotaip selalu menghantui golongan ini. Mereka selalu merasakan hidup seorang diri di dunia ini.

        Seperti kanak-kanak yang lain, mereka yang pintar cerdas belajar melalui interaksi. Pengalaman yang diperolehi akan digunakan sebagai proses mengumpul maklumat untuk mencari identiti mereka sebagai pelajar. Adakalanya, kanak-kanak pintar cerdas mengandaikan bahawa kanak-kanak lain juga adalah seperti mereka, sehinggalah mereka masuk ke alam persekolahan dan mendapati bahawa mereka mempunyai keupayaan yang tersendiri.

        Sewajarnya, kesedaran mengenai perbezaan kanak-kanak ini dari kanak-kanak yang lain boleh juga bermula dari awal lagi. Adalah penting untuk mempertimbangkan bagaimana cara kita bertindak atau respon pada kanak-kanak di bawah jagaan kita yang ‘berbeza’ kerana ini merupakan impak yang besar terhadap identiti kanak-kanak itu sendiri. Hal ini demikian kerana pelajar yang mempunyai potensi dan bakat yang luar biasa serta melebihi kebolehan rakan seusianya lebih dikenali sebagai kanak-kanak pintar cerdas (gifted). Dalam konteks ini, pelajar pintar cerdas dan berbakat merupakan individu yang memiliki potensi yang tinggi dalam pelbagai aspek perkembangan dan pertumbuhan.




      Justeru itu, suatu program pendidikan khas perlu dilaksanakan segera dengan tujuan mengembangkan potensi dan bakat mereka dengan lebih sistematik dan berkesan kerana mereka merupakan aset pembangunan negara. Sekiranya, kita mempersia-siakan kepintaran yang dimiliki oleh mereka, ini akan mendatangkan kerugian kepada negara.

        Dari sudut perspektif perkembangan pelajar pintar cerdas ini, kegagalan membantu pelajar pintar cerdas bagi memperkembangkan potensi dan bakat mereka adalah satu kerugian yang besar kepada negara dan masyarakat keseluruhannya. Sekiranya penekanan sebegini tidak diberi perhatian, dikhuatiri potensi dan bakat pelajar pintar cerdas ini akan terbantut dan lambat berkembang. Malahan, pengajaran guru yang tidak mencabar pemikiran mereka akan menyebabkan mereka cepat berasa jemu dan bosan, seterusnya akan menghilangkan minat belajar. Dalam konteks ini, personaliti terutama watak, perangai, tingkah laku dan cara gaya pembelajaran mereka perlu difahami oleh guru bagi merancang strategi pengjaran yang sesuai. Jika dipupuk bakat yang ada tentu dapat memperkemas dan memantapkan keistimewaan yang dikurniakan kepada mereka.

        Selain guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam usaha melahirkan dan mendidik anak pintar cerdas. Ibu bapa perlu mempunyai kemahiran serta keyakinan yang membolehkan mereka mempraktikkan amalan-amalan mendidik anak pintar cerdas. Salah satu kemahiran yang perlu digarap oleh ibu bapa adalah mengisi ruang kasih sayang sekeluarga. Hubungan yang erat, suasana keluarga yang harmoni adalah antara perkara dan keperluan yang perlu wujud dalam memberi sokongan kepada anak-anak pintar cerdas. Ini menepati teori Ethiologi yang mementingkan hubungan yang rapat antara keluarga, rakan-rakan dan guru mempengaruhi perkembangan mereka ke arah pembentukan insan yang berkualiti dan cemerlang.







Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

DEFINISI KANAK-KANAK PINTAR CERDAS DALAM KONTEKS PENDIDIKAN MALAYSIA

NAMA AHLI KUMPULAN